SEJARAH NEGERI KELANTAN
Dalam abad ke 5 masihi, sejarahwan China Shenyao (414-512) dalam Sung Shunya sudah mencatat nama Ho-lo-tan atau Kuo-lo-tan sebagai sebuah ibu kota di Semenanjung Tanah Melayu. Satu abad kemudian. setengah-setengah sejarahwan percaya bahawa kerajaan Srivijaya Pertama (Sri Vijaya Mala) telah wujud di Kelantan dan berkembang ke Malayu, Sumatera kira-kira pada akhir abad ke tujuh. Sri Maharaja Jayanagar telah membangunkan sebuah ibu kota di Palembang (Sri Vijaya Ke 2). Kelantan diserahkan kepada Puteranya, Sri Maharaja DiRaja. Kemudian Kedua-dua kerajaan ini disatukan oleh Sanjaya (Jaya Shinha) cucu Jayanagar dalam satu empayar yang disebut oleh orang Cina, San-Fo-Tse (Tanah Sri Indah Sekebun bunga), iaitu dalam abad ke lapan Masihi (Nik Mohamed, 1984).
Kelantan, dari semasa ke semasa, dikunjungi para pedagang dari jaun dan dekat; dari Kepulauan Melayu, Siam, Kemboja, Campa, China, India, Parsi dan Arab. Bukti bahawa Kelantan itu berkuasa luas dan menjadi pusat dagangan ialah wang dinar yang terjumpa di kawasan kota Kubang Labu. Pada dinar itu tertera kata-kata dan angka Arab; " al Julus Kelantan 577" dan di sebelahnya; "Al-Mutawakkil" bertarikh 577 ialah sanat hijriah yang bersamaan tahun 1181 Masihi. Dalam Abad 17 pula Ibnu Batuta Seorang Pengembara Arab telah singgah di satu tempat yang bernama "Kilu Krai" (Kuala Kerai di Ulu Kelantan sekarang) dan bertemu dengan seorang raja perempuan yang bernama Urduja (Saad Shukri 1971). Baginda rupawan gagah perkasa dan beragama islam. dikatakan juga baginda boleh bertutur dalam bahasa Turki.
Seorang penulis Cina Chau Juo-Kua, mengatakan negeri Chi-Lan-Tan pada tahun 1222 adalah dibawah takluk kerajaan Srivijaya. Kemudian Syair Jawa Kuno Nagarakertagama karangan Prapance dalam tahun 1365 menyatakan bahawa Kelantan pada masa ini adalah sebahagian daripada Empayar Majapahit yang berpusat di Jawa Timur. Dalam tahun 1411, Kelantan diperintah oleh seorang raja yang bergelar Maharaja Kumara yang pernah mengirimkan ufti dan persembahan kepada Maharaja Cina (Rentse, 1934). Sejarah Melayu menjelaskan bahawa dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah di melaka, Kelantan telah ditaklukkan dan tiga orang Puteri Sultan Mansur Shah (1467-1521) dibawa ke Melaka. Seorang Puteri Onang Kening telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud dan sebagai hasil perkongsian ini lahirlah Raja Muzaffar yang menjadi Sultan Perak yang pertama.
Kelantan dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu, merupakan kawasan yang unik kerana berperanan sebagai pusat bagibeberapa kerajaan Melayu lama dan kawasan pergolakan beberapa dinasti DiRaja yang berhubungkait dengan kerajaan-kerajaan sekitarnya seperti Patani, Nakhon Si Thammarat, Siam, Kemboja, Champa di sebelah utara dan Terengganu, Pahang dan Johor di selatannya. Oleh yang demikian sebelum zaman Kelantan moden di bawah Long Yunus, Kelantan merupakan beberapa buah kawasan yang diperintah oleh beberapa dinasti DiRaja Melayu.
Bila Sultan Mansur Shah mangkat pada 1526 M (928H), maka putera baginda Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Gombak. Setelah baginda mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat baginda, iaitu Raja Ahmad ditabalkan menjadi sultan Kelantan pada 1684 M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad. Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara DiRaja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda kedua telah di kurniakan seorang puteri dinamakanCik Wan Kembang.
Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589 M, sewaktu puteri baignda Cik Wan Kembang berusia 4 tahun, oleh sebab itu Raja Hussain dari Johor dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintahan Kelantan. Bila Raja Hussain mangkat pada 1610 M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkan menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan kira-kira 40 km kearah tengara Kuala Krai.
Pemerintahan Cik Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi mashur dan dikunjungi oleh ramai pedagang dari dalam dan luar negara, termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan Kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disayangi oleh baginda, iaitu persembahan daripada rakyat baginda yang tinggal di Gunung Ayam. Gambar kijang ini telah diterapkan diatas wang emas dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada lambang Kebesaran Negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini dengan megahnya.